Bulan
Ogos merupakan bulan Kemerdekaan. Pada usia ini, sewajarnya manusia itu telah memiliki
kematangan tertentu untuk mengemudi hidupnya. Begitu juga bagi sebuah
negara, pada usia kemerdekaan itu, sepatutnya segala perkara yang
berlaku dalam negara ini, boleh ditangani dengan kematangan tertentu.
Bagi sebuah negara, kemerdekaan
bermaksud pembebasan daripada penjajahan.
Ini bermakna, negara ini bebas
menentukan apa yang penting baginya, dari sudut ekonomi, sosial mahupun
politik. Dalam masa yang sama, kemerdekaan yang dicapai ini juga
bermaksud bahawa kemerdekaan itu perlu dikekalkan. Inilah tanggungjawab
warga merdeka. Hakikatnya, inilah juga tugas yang lebih mencabar
berbanding mencapai kemerdekaan itu sendiri.
Dalam Islam, kemerdekaan itu suci maknanya. Islam itu sendiri membawa erti kesejahteraan,
kedamaian dan keamanan. Hakikatnya, kesemua makna ini semuanya menjurus
kepada maksud kemerdekaan yang kita fahami kini. Bagi seorang
Muslim pula, nikmat kebebasan dalam kemerdekaan seharusnya disyukuri.
Kebebasan ini bukan sahaja memberi lesen untuknya menentukan corak hidup
tetapi lebih penting adalah membebaskan diri dan pemikiran daripada
kemusyikan kepada Allah SWT dan sifat-sifat jahiliyah. Oleh itu, seorang Muslim yang merdeka adalah seorang Muslim yang bebas daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah SWT.
Walau
bagaimanapun, melihatkan keadaan kini, adakah sebenarnya Muslim
memiliki kemerdekaan itu?
Adakah kemerdekaan yang dimiliki itu
menggambarkan kebebasan yang dimaksudkan dalam agama suci ini?
Hakikatnya, banyak perkara yang berlaku kini, telah menunjukkan betapa
kemerdekaan masyarakat Muslim itu telah hilang sinarnya kerana
kemerdekaan itu mulai dicabar atau diganggu-gugat atau kemerdekaan itu
tidak suci lagi kerana tercemar oleh akhlak masyarakat Muslim itu
sendiri.
Lihat
sahaja bagaimana kemerdekaan itu disambut. Terlalu banyak unsur "kotor"
yang dimasukkan dalam acara sambutan itu. Dengan kata lain, unsur
hedonisma mendominasi acara sambutan sehingga hilanglah makna
kemerdekaan itu sendiri. Tidak hairanlah golongan muda kini keliru makna
sebenar kemerdekaan hingga ada yang mengganggap sejarah kemerdekaan
yang dikaji bertahun-tahun lamanya oleh golongan ilmuwan bijaksana
negara ini, dianggap salah dan perlu ditukar. Sekiranya
sambutan kemerdekaan yang kita kecapi ini membawa kita jauh daripada
kefahaman merdeka yang sebenar serta jauh daripasa syariat Islam, maka
apa guna kemerdekaan itu?
Ini tidak termasuk mereka yang
tidak peduli apa itu kemerdekaan. Ketika orang lain melaung-laungkan
kemerdekaan, cuba memahami serta mengambil pengajaran daripada peristiwa
itu serta berarak meraikan kemerdekaan, ramai pula menikmati cuti
merdeka dalam selimut beserta dengkuran masing-masing. Bagi mereka,
sambutan kemerdekaan tidak lebih daripada hari untuk bercuti. Jika
wira-wira kemerdekaan dahulu tahu bahawa perjuangan kemerdekaan mereka
itu hanya akan menghasilkan golongan yang tidak peduli sebegini, pasti
sahaja mereka berasa sangat kecewa.
Tidak
ketinggalan juga penghinaan demi penghinaan terhadap Islam yang
diterima kebelakangan ini. Daripada satu isu kepada isu yang lain. Jika
kemerdekaan menghalalkan penghinaan, pencacian serta perlekehan terhadap
agama Islam maka apakah gunanya kemerdekaan itu? Lebih sedih lagi
adalah cara kita mengendalikan penghinaan itu. Sikap bertolak ansur
keterlaluan akan hanya memakan diri sendiri. Sikap itu akhirnya akan
memusnahkan erti kemerdekaan bagi seorang Muslim.
Mereka yang melakukan penghinaan itu sudah pastinya jahil. Dalam kata lain, mereka itu tidak berakal. Kata orang, tiada gunanya melayan orang tak berakal. Lama-kelamaan, mereka akan berhenti atau diam dengan sendirinya. Namun, musuh dalam selimut tidak wajar dibiarkan, Mereka ibarat api dalam sekam. Lebih lama dibiarkan, maka lebih buruklah kerosakan yang terjadi. Mereka yang menanam kebencian serta melakukan penghinaan boleh dianggap sebahagian golongan fasiq, iaitu golongan yang "keluar daripada jalan ketaatan kepada Allah SWT." Umat Islam sendiri diberi ingatan untuk berhati-hati dengan cerita-cerita yang dibawa golongan fasiq (Surah al-Hujurat, 6). Hakikatnya, harapan untuk melihat mereka berhenti menyebarkan kebencian dan pembohongan hanyalah ibarat mimpi disiang hari. Oleh itu, mempertahankan "kemerdekaan" agama ini perlulah dilakukan dengan segera, tegas serta bijaksana.
Tidak
ketinggalan juga adanya golongan Muslim yang masih hidup dalam
kemiskinan. Ada juga yang menjadi gelandangan. Ada pula graduan Muslim
yang masih tidak memperoleh pekerjaan. Apalah ertinya kemerdekaan jika
masih ramai Muslim di luar sana yang masih terbelenggu dengan kesempitan
hidup? Malah, ini juga bermakna, golongan itu sebenarnya belum merdeka
sepenuhnya. Mereka masih terbelenggu dengan masalah yang "menjajah"
mereka daripada menikmati kemerdekaan hidup. Rasulullah SAW berpesan
bahawa "Kemiskinan membawa kepada kekufuran..." (Riwayat Abu Naim). Oleh
itu, jika mereka tidak dibantu atau salah menerima bantuan, ditakuti
lain pula jadinya nanti. Bagi menambahkan lagi kenikmatan merdeka yang
kita kecapi kini, golongan tidak bernasib baik ini perlu dibantu.
Penjelasan
yang diberikan di atas menunjukkansebahagian cabaran yang sedang
dihadapi Muslim di negara ini. Cabaran itu tidak terhad kepada apa yang
dinyatakan di dalam penulisan ini tetapi terdapat banyak lagi cabaran
lain di peringkat individu mahupun di peringkat komuniti. Apa yang
penting adalah membina Muslim yang bersedia, dari segi rohani dan
jasmani, untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran tersebut secara bijak,
berhemah serta penuh hikmah.
Dalam
konteks kemerdekaan yang bakal kita sambut nanti, pengisian sambutan
itu perlulah meliputi acara-acara yang memberikan kesedaran dan
peringatan tentang makna kemerdekaan dan makna diri seorang Muslim itu
sendiri. Ini kerana, ketika ini, kita bukan sahaja berhadapan dengan
golongan yang lupa dengan makna kemerdekaan tetapi kita juga berhadapan
dengan mereka yang lalai tentang hakikat menjadi seorang Muslim. Dalam
hal ini, kelupaan dan kelalaian itu bukan sahaja membawa kita
mempersiakan Negara tercinta ini tetapi turut melupakan diri dan
tanggungjawab sebagai seorang Muslim.
Oleh
itu, sambutan kemerdekaan sebagai seorang Muslim harus diisi dengan
lebih banyak acara kesyukuran atas nikmat kemerdekaan yang dikurniakan
Ilahi. Tidak ketinggalan juga acara-acara yang memberikan ingatan
tentang makna menjadi Muslim di negara Merdeka ini. Matlamat
terakhirnya, bukan sahaja menjadikan Muslim mencintai negara ini tetapi
menjadikan mereka memahami makna serta mensyukuri nikmat menjadi Muslim
di negara Malaysia yang merdeka.
From Institut of Islamic Understanding malaysia
No comments:
Post a Comment